15 Mei 2020 - 17:00
Pakatan A.S-Israel Gugat Keamanan Serantau Dan Global

Kementerian Luar Negeri Iran menolak dakwaan Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa kerjasama sedia ada di antara Washington dan Tel Aviv melambangkan hasrat bersama kedua-dua negara "dalam membina masa hadapan yang lebih damai dan sejahtera di rantau dan di seluruh dunia".

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Kementerian Luar Negeri Iran menolak dakwaan Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa kerjasama sedia ada di antara Washington dan Tel Aviv melambangkan hasrat bersama kedua-dua negara "dalam membina masa hadapan yang lebih damai dan sejahtera di rantau dan di seluruh dunia".

Tehran menambah dengan berkata bahawa kerjasama Washington-Tel Aviv hanya menggugat keamanan serantau dan dunia secara keseluruhan.

"Secara tepat, A.S telah menunjukkan komitmen mereka untuk melindungi rejim apartheid yang keberadaannya bergantung pada prinsip perkauman, penjajahan, keganasan dan pencabulan...," kata kementerian luar itu dalam akaun Twitter mereka pada hari Jumaat.

Mereka turut berkata bahawa Washington pada hakikatnya menghargai kerjasama dengan Israel yang dibina berasaskan "kemusnahan dan pertumpahan darah" di Palestin dan di belahan dunia yang lain.

Kementerian itu kemudiannya menekankan pandangan mereka bahawa pakatan Washington-Tel Aviv hanya menjadikan dunia lebih tidak aman.

Setiausaha Negara A.S, Mike Pompeo pada hari Khamis meluahkan penghargaan beliau terhadap kerjasama Washington-Tel Aviv sempena hari ulang tahun pemindahan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke wilayah al-Quds yang diduduki rejim.

Tindakan itu diambil oleh pentadbiran Presiden Trump sejajar dengan pendirian mereka yang mengiktiraf al-Quds sebagai ibu negara Israel sekaligus mengecilkan prospek penyelesaian dua negara dan solusi lain.

Langkah itu mendapat kecaman global termasuk daripada sekutu tradisi A.S di Eropah yang menyifatkan perkara itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. -Press TV